Antioksidan Bantu Cegah Katarak
Bukan kesemua masalah penglihatan boleh dicegah tetapi banyak langkah boleh dilakukan untuk memperlahankan perkembangan kebanyakan gangguan mata dan mencegah kerosakan penglihatan. Salah satu daripada masalah tersebut adalah katarak.Katarak merupakan kawasan berkabut dalam kanta mata yang lutsinar, iaitu tisu yang berada di belakang anak mata yang bertanggungjawab dalam pemfokusan cahaya ke atas retina.
Katarak biasanya bermula sedikit sahaja dan mempunyai sedikit kesan kepada penglihatan. Tetapi apabila ia semakin membesar dan mengaburkan lebih banyak kawasan kanta, anda mendapati tugasan biasa semakin sukar untuk dilakukan.
Katarak boleh berkembang dalam satu atau kedua-dua belah mata, dan boleh terdapat lebih daripada satu bentuk katarak pada mata yang sama. Kebanyakan individu dengan katarak dalam salah satu mata biasanya akan membentuk katarak pada sebelah mata yang lain.
3 Tahap Katarak
Terdapat tiga tahap katarak iaitu tidak matang, matang dan terlampau matang. Jika seseorang masih mempunyai sebahagian daripada penglihatannya, ini bermakna kanta mata masih mempunyai beberapa kawasan yang jelas (jernih) dan katarak tersebut dikatakan tidak matang.
Katarak matang merupakan jenis yang mengaburi kesemua kawasan kanta atau legap. Katarak terlampau matang pula akan mula melepaskan bendalir dari kapsul luaran kerasnya yang mungkin mengakibatkan masalah di sekitar kawasan mata.
Faktor Risiko
Dalam kebanyakan kes, katarak terbentuk apabila usia meningkat. Statistik menunjukkan pada usia 75 tahun, 70% rakyat Malaysia mungkin menghidap katarak yang mengakibatkan masalah dalam aktiviti seharian.
Selain daripada peringkat usia, punca katarak yang kedua penting adalah diabetis yang juga merupakan sebab utama kebutaan bagi golongan orang dewasa antara peringkat usia 20 hingga 74 tahun.
Perokok lelaki yang menghisap 20 batang rokok atau lebih sehari juga mempunyai risiko berganda dalam perkembangan katarak sementara bagi golongan wanita, menghisap 35 batang rokok atau lebih akan menggandakan risiko mereka.
Penggunaan kortikosteroid dalam jangka panjang juga disebut-sebut mempengaruhi risiko kejadian katarak.
Latar belakang keluarga yang mempunyai katarak, golongan yang mempunyai perkembangan terbantut dalam zaman kanak-kanak, atau dilahirkan pra-matang turut berisiko tinggi untuk mendapat katarak.
Akhir sekali, pendedahan jangka panjang kepada sinar untraungu (UV) matahari atau dari sinar-X boleh meningkatkan risiko pembentukan katarak yang dikenali sebagai katarak radiasi.
Gejala Katarak
Gejala biasa katarak adalah penglihatan semakin kabur dan terjejas teruk. Gejala lain merangkumi gambaran warna yang malap dan luntur, keupayaan penglihatan waktu malam menurun, bermasalah dengan sinaran cahaya dan lampu yang terang, dan dalam kebanyakan kes kunjungan ke pakar oftalmologi yang kerap untuk menukar preskripsi cermin mata dan kanta sentuh apabila penglihatan semakin buruk.
Sesetengah pesakit melaporkan penglihatan berganda pada mata yang terlibat walaupun gejala ini kelihatan berkurangan atau lenyap keseluruhannya apabila katarak semakin berkembang.
Jika penglihatan seseorang itu semakin bertambah buruk, langkah terbaik adalah berjumpa dengan seorang pakar mata secepat mungkin. Pakar akan membantu dalam diagnosis dan memberi rawatan yang sewajarnya jika perlu.
Diagnosis
Cara yang paling biasa bagi mendiagnosis sesuatu katarak yang berkaitan dengan penigkatan usia adalah pada masa pemeriksaan mata dibuat.
Oleh kerana katarak biasanya terbentuk dalam tempoh masa yang lama, dalam kebanyakan kes, seseorang tidak memberi perhatian terhadapnya sehingga sudah terlewat. Adalah sangat penting, terutamanya bagi golongan tua, untuk mendapatkan pemeriksaan mata berkala daripada seorang pakar pada masa yang tetap.
Katarak boleh dicegah. Pertama sekali, elakkan risiko diabetis untuk mengurangkan risiko katarak. Elakkan juga penggunaan jangka panjang kortikosteroid dan merokok.
Pakailah cermin mata hitam (dengan lapisan perlindungan UV) semasa di luar untuk melindungi mata daripada pendedahan sinar UV.



No comments:
Post a Comment